Saturday, October 18, 2008

Sistem Pengurusan Disiplin


Disiplin murid memainkan peranan penting untuk meningkatkan kecemerlangan akademik murid. Oleh itu sekolah tidak seharusnya memandang ringan tentang kepatuhan murid kepada peraturan sekolah. Sewajarnya peraturan sekolah didedahkan kepada murid dari semasa ke semasa untuk menyedarkan mereka bahawa sekolah mempunyai peraturannya yang perlu dipatuhi oleh semua murid demi menjaga ketenteraman sekolah dan suasana pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan jayanya.

Untuk memenuhi hasrat tersebut satu sistem diperlukan untuk mengurus disiplin murid dengan lebih teratur. Sistem yang dibangunkan ini bertujuan untuk menggalakkan murid mengumpul markah merit dan menjaga markah demerit. Oleh itu pada awal tahun semua murid diberi markah sebanyak 40. Markah ini perlu dijaga supaya tidak berkurang. Setiap kali markah berkurang, murid-murid diberi amaran dan sekiranya berkurang mencecah 30 surat amaran akan dihantar kepada ibu bapa dengan senarai kesalahan yang telah dilakukan oleh anak-anak mereka.

Kesalahan-kesalahan berat seperti membuli, mengugut, mencuri atau memukul murid lain akan di rotan sekali di punggung disertai surat makluman kepada ibu bapa. Diharapkan ibu bapa dapat meluangkan masa untuk berbincang dengan pihak sekolah supaya kedua-dua pihak dapat memainkan peranan mengawal disiplin murid berkenaan. Sekiranya kesalahan disiplin berterusan dilakukan sehingga baki markah menjadi 20, rotan dua kali di punggung, berbaki 10 digantung persekolahan dan tanpa berbaki lagi keputusan mungkin dibuang sekolah.

Di samping demerit, murid-murid juga digalakkan mengumpul markah merit. Markah merit boleh dikumpul melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti menjawat jawatan, menyertai dan memenangi pertandingan peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara. Murid juga boleh mengumpul markah melalui aktiviti-aktiviti kebajikan seperti menolong guru, aduan yang benar, keperihatinan dan lain-lain.

Semua guru adalah guru disiplin mengikut pekeliling ikhtisas dan melalui sistem ini guru-guru diberi kuasa untuk mengenakan merit dan demerit kepada semua murid. Dengan itu kawalan murid tidak terhad terhadap guru-guru disiplin semata-mata. Dengan itu murid-murid sentiasa berwaspada untuk melakukan kesalahan, tidak di depan guru disiplin sahaja.

Murid-murid pula boleh menyemak markah merit dan demerit mereka kerana sistem ini akan menyenaraikan murid-murid yang berkurang markah demeritnya dan bertambah markah meritnya. Dengan itu berlakulah perlumbaan antara murid-murid untuk menambah markah merit masing-masing dan berwaspada agar markah demerit tidak berkurang.

No comments: