Saturday, October 18, 2008

Sistem Pengurusan Disiplin


Disiplin murid memainkan peranan penting untuk meningkatkan kecemerlangan akademik murid. Oleh itu sekolah tidak seharusnya memandang ringan tentang kepatuhan murid kepada peraturan sekolah. Sewajarnya peraturan sekolah didedahkan kepada murid dari semasa ke semasa untuk menyedarkan mereka bahawa sekolah mempunyai peraturannya yang perlu dipatuhi oleh semua murid demi menjaga ketenteraman sekolah dan suasana pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan jayanya.

Untuk memenuhi hasrat tersebut satu sistem diperlukan untuk mengurus disiplin murid dengan lebih teratur. Sistem yang dibangunkan ini bertujuan untuk menggalakkan murid mengumpul markah merit dan menjaga markah demerit. Oleh itu pada awal tahun semua murid diberi markah sebanyak 40. Markah ini perlu dijaga supaya tidak berkurang. Setiap kali markah berkurang, murid-murid diberi amaran dan sekiranya berkurang mencecah 30 surat amaran akan dihantar kepada ibu bapa dengan senarai kesalahan yang telah dilakukan oleh anak-anak mereka.

Kesalahan-kesalahan berat seperti membuli, mengugut, mencuri atau memukul murid lain akan di rotan sekali di punggung disertai surat makluman kepada ibu bapa. Diharapkan ibu bapa dapat meluangkan masa untuk berbincang dengan pihak sekolah supaya kedua-dua pihak dapat memainkan peranan mengawal disiplin murid berkenaan. Sekiranya kesalahan disiplin berterusan dilakukan sehingga baki markah menjadi 20, rotan dua kali di punggung, berbaki 10 digantung persekolahan dan tanpa berbaki lagi keputusan mungkin dibuang sekolah.

Di samping demerit, murid-murid juga digalakkan mengumpul markah merit. Markah merit boleh dikumpul melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti menjawat jawatan, menyertai dan memenangi pertandingan peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara. Murid juga boleh mengumpul markah melalui aktiviti-aktiviti kebajikan seperti menolong guru, aduan yang benar, keperihatinan dan lain-lain.

Semua guru adalah guru disiplin mengikut pekeliling ikhtisas dan melalui sistem ini guru-guru diberi kuasa untuk mengenakan merit dan demerit kepada semua murid. Dengan itu kawalan murid tidak terhad terhadap guru-guru disiplin semata-mata. Dengan itu murid-murid sentiasa berwaspada untuk melakukan kesalahan, tidak di depan guru disiplin sahaja.

Murid-murid pula boleh menyemak markah merit dan demerit mereka kerana sistem ini akan menyenaraikan murid-murid yang berkurang markah demeritnya dan bertambah markah meritnya. Dengan itu berlakulah perlumbaan antara murid-murid untuk menambah markah merit masing-masing dan berwaspada agar markah demerit tidak berkurang.

Saturday, September 6, 2008

Auditan Hasilan Berteraskan OTI


Auditan Hasilan Berteraskan OTI berasaskan idea Dato' Rahim Tahir semasa beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu. Hasil perbengkelan pegawai-pegawai JPN Terengganu pada tahun 1996 satu borang pelaporan telah diwujudkan untuk diisi oleh sekolah-sekolah seluruh negeri Terengganu.

Melalui borang ini pemantau dengan cepat dapat mengetahui kemajuan sekolah ini dalam membuat auditan setiap keputusan Ujian OTI. Melalui borang ini Panitia Mata pelajaran dapat merancang kemajuan mata pelajaran masing-masing berasaskan Take-off Value (TOV) pada awal tahun. Sebagai contoh, daripada seramai 168 orang murid Tahun Enam mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman seramai 13 orang kumpulan keupayaan A, 65 orang (B), 67 orang (C) dan 23 orang (D) tanpa (E).

Pengajaran dan pembelajaran tahun semasa adalah berhasrat untuk menambah bilangan mendapat A dan mengurangkan bilang murid mendapat D atau E. Dalam contoh ini Expected Target Result (ETR) ialah berusaha meningkatkan pencapaian A daripada 13 orang kepada 97 orang. Ini bermakna murid yang TOV-nya A, kekal dengan A manakala B dan beberapa orang kumpulan keupayaan C ditingkatkan kepada A. Manakala 23 orang dalam kumpulan keupayaan D ditingkatkan kepada C atau B. Inilah target yang diharapkan dicapai dalam UPSR nanti.

Untuk memastikan guru-guru mengajar untuk mencapai Operasional Target Incrementalisme (OTI) yang telah ditetapkan sebanyak lima kali sepanjang tahun, ujian-ujian OTI diadakan sepanjang tahun tersebut. Hasil ujiannya dikenali sebagai Actual Target Result (ATR) dibanding dengan OTI yang setara untuk dibuat analisis perbezaan. Sekiranyanya perbezaan menghasilkan nilai positif bermakna kemajuan pembelajaran telah berlaku tetapi jika sebaliknya guru-guru hendaklah menilai semula keberkesanan pengajarannya dan memperbaiki strategi agar berlaku peningkatan semula dalam Ujian OTI yang akan datang.

Dalam kes mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, dalam Ujian OTI 1, guru berhasrat untuk meningkatkan keputusan A seramai 33 orang, B(64), C(55) dan D(15) tetapi keputusan ujian tersebut ATR ialah A(47), B(62), C(42), D(13) dan E(3). Ini menunjukkan 3 orang murid kumpulan keupayaan D telah merosot pencapaiannya manakala Kumpulan keupayaan A pula menunjukkan peningkatan analisis perbezaan OTI 1 dengan ATR 1 telah melangkau 14 orang.

Wednesday, September 3, 2008

Sistem Pengurusan Peperiksaan


Apabila Sistem Maklumat Murid (SMM) telah mempunyai data, saya membina pula Sistem Pengurusan Peperiksaan (SPP). Melalui sistem ini guru-guru tidak lagi perlu menulis nama murid sebaliknya hanya perlu memasukkan markah sahaja.

SPP mengurus kemasukan markah Ujian Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun. Semua mata pelajaran diuji dalam kedua-dua ujian ini termasuklah Muzik, PJPK, Kajian Tempatan, Sivik dll. Markah-markah dimasukkan oleh guru-guru mata pelajaran secara online kerana kemudahan Local Area Network (LAN) dimanfaatkan sepenuhnya di SK Chukai.

Setelah semua markah telah dimasukkan, beberapa analisis dan report dapat dikeluarkan oleh sistem ini. Antaranya ialah Marksheet, analisis Minimum C dan Mata Pelajaran. Analisis-analisis pula dapat dieksport dalam format excel atau word sekiranya ubah suai hendak dilakukan.

Dengan menggunakan sistem ini pihak sekolah tidak perlu membuang masa yang banyak untuk membuat analisis kerana sistem ini mampu mengeluarkan keputusan dengan tepat, pantas dan bermutu. Guru-guru boleh mengambil tindak susul untuk memperbaiki kelemahan murid menjawab ujian yang lepas dengan pantas. Tindakan yang pantas sangat memberi manfaat kepada murid-murid.

Sekolah yang berminat menggunakan sistem ini perlu juga menggunakan SMM. Kerana itu kedua-dua sistem ini telah dipakejkan dengan harga RM700.00.

Friday, August 29, 2008

Sistem Maklumat Murid (SMM)


Sistem Maklumat Murid (SMM) mula dibina pada tahun 2000 untuk digunakan di SK Seri Kemaman, Terengganu. Sistem ini digunakan untuk mengumpul maklumat murid dan ibu bapa yang belajar di sekolah tersebut. Tujuannya supaya maklumat murid dicapai dengan mudah apabila diperlukan.

Oleh kerana maklumat ini disimpan setempat di server ia boleh dikemaskini dari semasa ke semasa melalui komputer client. Oleh itu proses pertukaran murid dapat dikendali dengan cekap dan pantas. Hanya maklumat seperti nama sekolah dan alamat tempat tinggal baru diperlukan semasa membuat urusan pertukaran. Dalam beberapa minit surat pertukaran boleh dikeluarkan. Oleh itu masa menunggu dapat disingkatkan.

Begitu juga sekiranya murid-murid memerlukan surat akaun hospital. Proses pengeluaran surat mengambil masa yang singkat kerana maklumat murid sudahpun ada dalam komputer. Cuma masukkan kelas, cari nama murid, klik butang cetakan dan surat akuan selesai dicetak.

Pendek kata pengurusan berasaskan ICT banyak kelebihannya kerana semua maklumat berada dihujung jari. Oleh itu pengurus sekolah hari ini hendaklah berfikiran terbuka dengan beralih kepada pengurusan secara digital supaya tidak terus ketinggalan dalam arus globalisasi yang begitu pesat berkembang.

Pengurusan Sekolah Secara Digital

Peluasan penggunaan komputer di sekolah-sekolah di Malaysia telah menyediakan prasarana ICT yang baik di sekolah-sekolah. Pembekalan komputer melalui Program PPSMI telah menjadi lambakan komputer note book di sekolah-sekolah sekiranya tidak digunakan oleh guru-guru dengan sewajarnya.

Pembekalan komputer tersebut walaupun bertujuan untuk memudahkan guru-guru mengajar mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tetapi sebenarnya komputer-komputer tersebut boleh juga dimanfaatkan untuk tujuan pengurusan sekolah secara digital.

Hari ini kita sering terdengar keluhan guru-guru yang dibebankan dengan tugas-tugas perkeranian yang rencam.Tugas-tugas ini merupakan tugas tambahan kepada guru-guru dan telah menjejaskan tugas sebenar mereka sebagai pendidik.

SK Chukai antara sekolah-sekolah yang telah menukarkan pengurusan sekolah secara manual kepada pengurusan berasaskan digital. Saya selaku pengurus utama di sekolah ini telah berusaha dari semasa ke semasa memikirkan bagaimanakah caranya untuk meringankan kerja-kerja perkeranian guru. Lantaran itu, langkah pertama saya ialah membina Sistem Maklumat Murid dan telah diguna pakai pada tahun 2000 semasa bertugas sebagai Guru Besar di SK Seri Kemaman (1999-2003).

Walaupun pada peringkat awal idea saya ini mendapat tentangan daripada guru-guru kerana membebankan mereka untuk memasukkan maklumat ke dalam komputer secara besar-besaran pada tahun tersebut. Memang bukan satu kerja yang mudah untuk memasukkan maklumat peribadi murid, ibu bapa seramai hampir seribu orang dalam waktu yang singkat. Namun selepas itu baru guru-guru sedar akhirnya memudahkan kerja-kerja mereka kemudian nanti. Ibarat kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Kini sistem tersebut telah mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa dan versi 5.0 adalah versi terkini digunakan pada tahun 2008.

Sebelum sistem ini dilancarkan saya telah membina dahulu sistem rangkaian setempat untuk menghubungkan komputer-komputer sama ada melalui kabel atau tanpa kabel. Sebuah komputer dijadikan sebagai server (kini server makmal komputer di manfaatkan) manakala komputer-komputer lain sebagai client. Dengan itu guru-guru boleh update data melalui komputer-komputer client (note book ppsmi atau desktop di makmal komputer, pusat akses dan komputer pengurusan di pejabat).