Friday, August 29, 2008

Sistem Maklumat Murid (SMM)


Sistem Maklumat Murid (SMM) mula dibina pada tahun 2000 untuk digunakan di SK Seri Kemaman, Terengganu. Sistem ini digunakan untuk mengumpul maklumat murid dan ibu bapa yang belajar di sekolah tersebut. Tujuannya supaya maklumat murid dicapai dengan mudah apabila diperlukan.

Oleh kerana maklumat ini disimpan setempat di server ia boleh dikemaskini dari semasa ke semasa melalui komputer client. Oleh itu proses pertukaran murid dapat dikendali dengan cekap dan pantas. Hanya maklumat seperti nama sekolah dan alamat tempat tinggal baru diperlukan semasa membuat urusan pertukaran. Dalam beberapa minit surat pertukaran boleh dikeluarkan. Oleh itu masa menunggu dapat disingkatkan.

Begitu juga sekiranya murid-murid memerlukan surat akaun hospital. Proses pengeluaran surat mengambil masa yang singkat kerana maklumat murid sudahpun ada dalam komputer. Cuma masukkan kelas, cari nama murid, klik butang cetakan dan surat akuan selesai dicetak.

Pendek kata pengurusan berasaskan ICT banyak kelebihannya kerana semua maklumat berada dihujung jari. Oleh itu pengurus sekolah hari ini hendaklah berfikiran terbuka dengan beralih kepada pengurusan secara digital supaya tidak terus ketinggalan dalam arus globalisasi yang begitu pesat berkembang.

Pengurusan Sekolah Secara Digital

Peluasan penggunaan komputer di sekolah-sekolah di Malaysia telah menyediakan prasarana ICT yang baik di sekolah-sekolah. Pembekalan komputer melalui Program PPSMI telah menjadi lambakan komputer note book di sekolah-sekolah sekiranya tidak digunakan oleh guru-guru dengan sewajarnya.

Pembekalan komputer tersebut walaupun bertujuan untuk memudahkan guru-guru mengajar mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tetapi sebenarnya komputer-komputer tersebut boleh juga dimanfaatkan untuk tujuan pengurusan sekolah secara digital.

Hari ini kita sering terdengar keluhan guru-guru yang dibebankan dengan tugas-tugas perkeranian yang rencam.Tugas-tugas ini merupakan tugas tambahan kepada guru-guru dan telah menjejaskan tugas sebenar mereka sebagai pendidik.

SK Chukai antara sekolah-sekolah yang telah menukarkan pengurusan sekolah secara manual kepada pengurusan berasaskan digital. Saya selaku pengurus utama di sekolah ini telah berusaha dari semasa ke semasa memikirkan bagaimanakah caranya untuk meringankan kerja-kerja perkeranian guru. Lantaran itu, langkah pertama saya ialah membina Sistem Maklumat Murid dan telah diguna pakai pada tahun 2000 semasa bertugas sebagai Guru Besar di SK Seri Kemaman (1999-2003).

Walaupun pada peringkat awal idea saya ini mendapat tentangan daripada guru-guru kerana membebankan mereka untuk memasukkan maklumat ke dalam komputer secara besar-besaran pada tahun tersebut. Memang bukan satu kerja yang mudah untuk memasukkan maklumat peribadi murid, ibu bapa seramai hampir seribu orang dalam waktu yang singkat. Namun selepas itu baru guru-guru sedar akhirnya memudahkan kerja-kerja mereka kemudian nanti. Ibarat kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Kini sistem tersebut telah mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa dan versi 5.0 adalah versi terkini digunakan pada tahun 2008.

Sebelum sistem ini dilancarkan saya telah membina dahulu sistem rangkaian setempat untuk menghubungkan komputer-komputer sama ada melalui kabel atau tanpa kabel. Sebuah komputer dijadikan sebagai server (kini server makmal komputer di manfaatkan) manakala komputer-komputer lain sebagai client. Dengan itu guru-guru boleh update data melalui komputer-komputer client (note book ppsmi atau desktop di makmal komputer, pusat akses dan komputer pengurusan di pejabat).